MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

AIR JAMPI, ULAMA DAN DR. HARUN DIN

BANYAK isu berkaitan dengan “ulama” yang telah dilambungkan untuk orang politik smesy atau menghentam. Antaranya ialah “ULAMA dan AIR JAMPI” telah menjadi satu isu besar. Ia bermula dengan “lambungan” oleh Dr Mahathir yang mempertikaikan “kesahihan” Datuk  Dr. Harun Din sebagai ulama dan pengubat menggunakan ayat Al-Quran, dibacakan kepada air untuk pesakit.

Ramai tertarik dengan isu tersebut kerana Dr. Harun mempunyai ribuan peminat, pesakit dan murid. Akhbar utama, beberapa penulis dan penceramah politik telah menggunakan isu tersebut untuk menyindir dan memperkecilkan Harun Din sebagai pengubat, cara bomoh yang tidak sesuai dengan pengajaran Islam. Ia disebut cara yang tidak masuk akal, malahan semacam satu “penipuan”. Sebabnya Dr. Harun Din sendiri telah berubat di  sebuah hospital Australia.  

Dengan demikian, ilmu Islam pada diri Datuk Prof (bekas) Dr. (Ph.D) Harun Din dan orang yang setaraf atau lebih daripada beliau juga tidak boleh dianggap sebagai ulama. Begitu disimpulkan  menurut pendapat Dr. Mahathir. Wawancara dengan TV3 pada malam Rabu 16 November, 1999 Dr Mahathir telah mengulangi pendapatnya mengenai ulama. Beliau menyebut nama beberapa ulama agung waktu silam ; tetapi tidak pula memberi nama seorang pun ulama sekarang di dunia ini yang beliau “hormati” dan membaca penulisan mereka. Mahathir tidak menganggap seseorang itu “ulama’ apabila ia menjadi anggota atau penyokong mana-mana parti politik (apakah konsep “sapu bersih” ini juga termasuk mereka yang berpendidikan agama dalam BN atau penyokongnya yang di luar secara langsung dan tidak langsung BUKAN JENIS ULAMA yang tulen ? tidak pula beliau dijelaskan !.)          

Bahas pendapat 1

Logiknya untuk mengetahui siapa itu ulama perlu dikaji istilah dan konsep serta pemakaiannya. Dalam konteks agama asas ilmu Islam yang teguh perlu ada pada seseorang. Alim, bukan sahaja ada ilmu yang mendalam luas tetapi juga mempunyai sifat takwa. Ilmu dan sifat takwa pada diri seseorang itu diakui dan dihormati oleh masyarakat sehingga ia dipanggil ulama. Ijazah tinggi tanpa takwa dan menegakkan syariat Islam tidak boleh dianggap ulama. Ilmu demikian itu hanya untuk dirinya mencari makan. Jadi tingkat ulama itu bertangga menurut maqam pendekatan diri dengan Allah dan perjuangan syariat Islam. “Bukan ikut arahan gaji” oleh orang yang lebih rendah maqamnya daripada “ulama” itu sendiri .   

Bahas pendapat 2.  

AIR dan Jampi. Air yang berkaitan dengan sejarah dan kepercayaan baik menurut Al-Quran dan Hadis mahupun ulama dan cerita cukup banyak. Antara yang terkenal ialah:

  1. air Jeranah, air telaga yang diceritakan pernah  nabi “meludah/membaca” (?) sesudah diketahui bahawa telaga itu diisi racun oleh musuh Islam ;
  2.  air zamzam yang diminum oleh penduduk Mekah dan jemaah haji
  3. air kauthar (ghaib) dan
  4. air mahfuz (ghaib). 3 dan 4 bagi orang thoriqat ialah masing-masing air untuk dikasadkan agar terkikis sifat jahat (mazmumah)  dan memohon agar dibukakan hijab. 

Untuk mengetahui “hikmah”  merupakan pemberian Allah kepada hamba-Nya. Malahan, saya tahu ada hamba Allah yang diberikan ayat Al-Quran yang dibaca dan ditulis pada air untuk pesakit jantung. Ini ada buktinya. Namun demikian itu merupakan satu daripada “undang-undang alam” yang dianugerah Allah melalui metafizik. Setiap orang alim dan taqwa ada kelebihan masing-masing. Namun Harun Din tidak pernah menyatakan yang beliau tahu semua pengubatan dan perihal Islam.    

Ulama dalam konteks sebagai pewaris nabi ialah dalam bentuk jamak ; bukan seorang sahaja. Konsep jamak ini sepatutnya dimengerti  dengan baik dan ilmiah. Bukan sahaja oleh ulama tetapi juga oleh orang yang mahu memperkecilkan peranan ulama yang berjuang demi peningkatan syariat dalam sesuatu masyarakat atau negara.        

Seterusnya mengenai AIR JAMPI kita banding dengan pita rakaman yang digunakan oleh penyanyi atau penceramah. Gelombang suara (wave length) itu akan mempengaruhi “rasa” dan pancaindera pendengar. Orang akan menari dan berbagai aksi menurut gelombang yang masuk melalui telinganya. Menurut seorang “pengubat” dan terpelajar Barat, di Indonesia 25 tahun dahulu, bahawa air itu berperanan sebagai pita ; manakala ayat Al-Quran itu mempunyai gelombang yang hebat.  

Ayat tertentu akan “menormalisasikan” atau membaik pulih apa yang tidak norma dalam badan pesakit. Jika sesuai dengan ayat (gelombang) tertentu, maka pesakit yang perjalanan darah dan urat sarafnya tidak norma akan sembuh. Namun demikian, Harun Din tidak pernah menidakkan ilmu dan pendekatan lain kerana setahu penulis Harun Din dan pengubat lain menggunakan herba, madu  dan lain di samping air yang dibacakan ayat suci dan selawat syifaq. Dr. Jahid bin Sidek, bekas Prof Madya di Akademi Islam, Universiti Malaya, di samping air penawar memakai cara  yang lain pula. Beliau telah mengubati ribuan pesakit dan ramai yang rata-rata telah sembuh. Kebanyakan mereka telah berubat di hospital tetapi masih menderita.          

Untuk melihat secara ilmiah, isu ini perlu penyelidikan mengenai gelombang ayat Al-Quran dan penyukatan tentang suhu, darah dan lain-lain hal yang berkaitan dengan pesakit. Ertinya, ilmu kita, termasuk perubatan di hospital, masih jauh terbatas dan ia perlu penyelidikan yang mendalam dan meluas. Terciptanya makhluk halus seperti iblis, jin dan syaitan dengan berbagai nama sebagai satu daripada berbagai penyebab manusia dapat sakit tidak dapat diketepikan. Bacaan Fatihah, 99 nama Tuhan, perulangan bacaan ayat, empat qul, ayatul-kursi, ayat menghindar sihir dan segala doa dan juga beberapa cara dalam sejarah pengubatan oleh Rasulullah dan para sahabat sebaiknya boleh diperluas dengan penemuan ilmiah justeru itu janganlah menolak “ilmu” secara sembarangan, menurut nafsu. 14/11/99.   

 

 counter.bloke.com